| Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada SMS dalam akhbar Harian Metro seperti berikut: 6 Jun 2012 oleh Ummi08 (IMA85626) : Minta kembalikan semula peperiksaan di sekolah. PBS tak sesuai. Jika pelajar gagal, boleh adakan ujian ulangan dan aras soalan boleh direndahkan. 8 Jun 2012 oleh Ukurcelup (IMA30270) : Sokong Girlmisi, kembalikan peperiksaan, PBS tidak sesuai, cikgu sendiri masih celaru hendak melaksnakannya. 11 Jun 2012 oleh Epanfokesorewzz (IMB88325) : Minta kerajaan mansuhkan sistem PBS dan kembalikan sistem peperiksaan. Sebagai seorang pelajar, saya lebih gemar untuk bersaing dalam peperiksaan. KPM ingin menegaskan bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) adalah sebahagian daripada agenda transformasi pendidikan atas kesedaran bahawa pendidikan di Malaysia didakwa terlalu berpaksikan peperiksaan dan tidak holistik. PBS merupakan satu bentuk pentaksiran yang bersifat holistik dan mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara dan akur kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Justeru PBS dilaksanakan oleh guru-guru di sekolah secara terancang mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan. Kesediaan guru untuk melaksanakan PBS dijamin melalui sesi latihan yang merangkumi penerangan konsep PBS dan pengenalan serta penggunaan aplikasi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS). Sesi latihan telah bermula pada tahun lepas (2011) dan kumpulan sasaran adalah Setiausaha Peperiksaan (SUP) sekolah, pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Pegawai Pusat Kegiatan Guru (PKG) dan guru-guru yang dilantik sebagai Jurulatih Utama bagi menyokong dan membantu guru melaksanakan PBS. Untuk keterangan lanjut mengenai PBS sila rujuk laman web KPM di alamat www.moe.gov.my/lp. UNIT KOMUNIKASI KORPORAT KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
|